Entri Populer

Tampilkan postingan dengan label Kuih Talam. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Kuih Talam. Tampilkan semua postingan

Sabtu, 26 Januari 2013

Kuih Seri Muka Durian Untuk Majlis Tahlil





Apabila hubby meminta saya membuatkan kuih untuk dibawa ke majlis tahlil Bonda Mertua semalam, saya merasakan perlu dibuat 2 kuih kerana takut tak cukup kalau hanya satu kuih. Jadi selain Kuih Talam Labu di SINI, saya juga menyediakan Kuih Serimuka Durian. Memang dah lama, saya ingin membuatnya tetapi seperti biasalah kerana tak ada yang memakannya, jadi kenalah tunggu ada majlis tertentu, baru boleh membuatnya. Durian ini adalah durian yang saya bawa balik dari kampung dulu dan disimpan dalam freezer untuk tujuan membuat kuih muih berasaskan buah durian. Hmm itulah juga kenangan terakhir bersama Bonda Mertua di rumah kampung semasa kami singgah dalam perjalanan balik dari Pulau Pinang untuk menikmati durian yang sedang gugur. 

Lapisan bawah adalah berasaskan  resepi yang saya telah cuba beberapa kali di masa lepas. Lapisan atas pula, saya ubahsuai dengan memasukkan isi durian. Ini adalah kerana percubaan saya untuk menggunakan resepi lain telah  menghasilkan lapisan atas yang lembik walaupun saya mengikut resepi yang dikongsikan. Ini adalah kejadian kali kedua di mana lapisan atas yang terhasil adalah lembik menjadikan saya sangat putus asa. Itu yang saya jadi hairan, bagaimana orang lain boleh menghasilkan lapisan atas yang cantik. Sedangkan saya pulak, hancuish jadinya. 





Kuih Seri Muka Durian

Bahan Lapisan Bawah:-
500 gm beras pulut
300 ml santan pekat
300 ml air
2 tsp garam halus
sedikit minyak masak (terutama jika guna santan kotak)

Cara cara:
Rendam pulut sekurang kurangnya 4 jam. Basuh bersih dan toskan.

Kukus dengan semua bahan di atas selama 30 minit. Dialas plastik wrap dulu, jika mahu terus menggunakan loyang yang sama.  Apabila pulut masak, gaul hingga sebati. Tekan dalam loyang 10x10x2". 


Bahan Lapisan Atas:-

Bahan A
250 gm gula castor (guna 230 gm)
100 gm tepung kastard
400 ml santan pekat 
400 ml air 
5 ulas isi durian

Bahan B
4 biji telur
1/2 sk garam halus
Pewarna kuning- secukupnya

Cara Cara
Kacau rata bahan A dan masukkan bahan bahan B. Kacau hingga sebati atau diblender kesemuanya. Tapis ke dalam periuk dan masak dalam 2 - 3 minit sambil dikacau hingga naik wap sahaja. 

Tuang ke atas lapisan bawah dan kukus selama 30-40 minit. Potong dengan pisau plastik apabila kuih benar benar sejuk.








Jumat, 25 Januari 2013

Kuih Talam Labu Untuk Majlis Tahlil








Hari telah petang, baru hubby meminta supaya dibuatkan kuih untuk dibawa ke majlis tahlil untuk Bonda Mertua malam tadi. Hmmm kalaulah diberitahu awal awal tentunya, saya boleh menyediakan dari pagi. Maklumlah kuih kuih sebegini, perlu benar benar sejuk, sebelum boleh dipotong dengan cantik. Sekurangkurangnya 4 jam juga masa untuk benar benar sejuk. Saya pulak, cuma ada dalam 1 jam sahaja sebelum di bawa ke Rawang. Itulah pentingnya komunikasi, apalagi bagi suami isteri. Tetapi apa nak buat, terima jer lah seadanya. Lagi pun, saya memang berazam untuk mengurangkan bercakap cakap kerana saya tahu, ianya tidak elok untuk saya di kemudian hari. 

Oleh kerana saya membuat 2 jenis kuih, iaitu Kuih Talam Labu dan Kuih Seri Muka Durian, jadi terpaksalah meminta Nana dan Juita menyediakan kuih ini. Boleh klik di SINI jika ingin melihat resepi Kuih Seri Muka Durian. Saya membiarkan mereka bising pok pek pok pek bertanya itu dan ini, sementara saya sibuk membuat Kuih Seri Muka Durian. Maka inilah jadinya kerana mereka ni, bukan sahaja tak pernah membuat kuih tradisional tetapi juga tak  suka memakannya. Alahai, lapisan hijau sepatutnya menjadi lapisan atas, jika hanya 2 lapisan telah terbalik kot. Kuih kami ni dah jadi warna putih sebagai lapisan atas. Apa nak buat, sebab semuanya nak cepat supaya kuih dapat disejukkan untuk dipotong sebelum bertolak. Saya menyalin resepi ini dari Blog Yatie di mana Yatie membuat 3 lapisan, sedang saya hanya ingin membuat 2 lapisan jer. Tapi semasa snap gambar ini, saya dah buat sedikit magik, haaa tengok lapisan hijau dah jadi lapisan atas. 

Jom layan resepi di bawah.....




Kuih Talam Labu
Loyang 10x10 (guna loyang bulat 10 inci)

Lapisan Bawah
1 cawan labu manis- yg sudah di parut/sagat halus
1 1/2 cawan tepung beras* 
2 sudu besar rata tepung jagung* 
1 cawan santan pekat* 
2 cawan air* 
1/2 cawan gula castor* 
1/2 sudu kecil garam* 

Cara cara:
Bancuh semua bahan yg bertanda (*) tapis dan masak hingga naik wap, Sentiasalah di kacau guna whisk dan guna api sederhana je dlm 5 minit - tutup api. 

Masukkan labu yg di parut tadi dan kacau rata.  Tuang ke dalam loyang yang telah dilapik plastik dan spray minyak.

Panaskan pengukus. Bila air mendidih, kukus selama 10-15 minit. Biarkan permukaan betul betul kering dengan mengangkat penutup pengukus dan teruskan kukus beberapa minit lagi. Angkat dan cakar permukaan lapisan bawah dengan garfu.


Lapisan Atas
1 1/4 cawan tepung gandum 
2 sudu besar rata tepung jagung 
1 cawan gula halus 
3 biji telur 
1 cawan santan pekat 
2 cawan air 
1/2 sudu kecil garam 
pewarna hijau dan perisa pandan 

Cara cara:
Bancuh semua bahan dan tapis semua bahan ke dalam periuk dan masak hingga naik wap. Hendaklah sentiasa di kacau guna whisk dan guna api sederhana dlm 5 minit.

Tuangkan adunan lapisan atas ke atas lapisan bawah dan kukus selama 20 minit.

Setelah siap, angkat dan biarkan kuih betul betul sejuk barulah di potong dengan menggunakan pisau plastik supaya kuih kelihatan cantik.







Rabu, 23 Januari 2013

Kuih Bakar Labu






Innaalillahi wainaa ilaihirojium. Daripada Allah kita datang dan kepada Allah juga kita dikembalikan. Semasa sedang bersiap siap untuk ke majlis Maulidur Rasul di Surau Ad Dhuha, mendapat berita yang Bonda Mertua telah kembali ke rahmatullah dalam pukul 7 malam tadi selepas lebih 3 minggu diserang angin ahmar. Al Fatihah yang mampu disedekahkan. Hadis Muslim, Sabda Rasulullah saw "apabila seseorang anak adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak soleh yang mendoakan untuknya". Sesungguhnya anak yang baik adalah anak anak yang boleh memberi manafaat kepada kedua ibu bapa selepas mereka meninggal. Selepas Nana balik dari Mid Valley, kami sekeluarga bertolak ke rumah BIL di Rawang.

OK kita berbalik kepada Kuih Bakar Labu yang disediakan pagi Rabu. Saya meminta Nana menyediakan Kuih Bakar Labu untuk dibawa ke surau sempena majlis Maulidur Rasul di Surau Ad Dhuha malam tadi. Maklum kuih ini perlu disedia dari pagi supaya ianya benar benar sejuk bagi memudahkan dipotong disebelah petang atau malamnya. Kalau menunggu saya balik dari pejabat, pasti kuih masih lagi panas panas. Lagi pulak, sementara Nana belum lagi mula bertugas, bolehlah dia membantu saya apa yang patut. Namun dengan berita yang diterima, saya membawa Kuih Bakar Labu yang telah dipotong ke Rawang.




Resepi ini saya ambil dari blog Zila Forever. Saya memilih untuk membuat kuih ini sebab masih mempunyai banyak stok labu yang dibawa oleh kakak dari Kelantan semasa majlis pertunangan Nana tempohari. Anak anak dan suami saya agak kurang menggemari masakan labu atau kuih muih berasaskan labu. Dengan kata lain, semua kuih muih tradisional, mereka memang kurang menyukainya. Jadi saya terpaksa lah mengorek dan mencari resepi berasaskan labu bagi menghabiskan stok labu dengan penuh manfaat.

Jom kita semak resepi dulu...




Kuih Bakar Labu

Bahan bahan:
2 biji telur
1 1/2 cwn santan (1 santan kotak + 1/2 cawan air)
1 cwn tepung gandum
1/2 cwn gula
sedikit garam
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu besar minyak sapi
1 cwn labu yg telah direbus dan dilecek
Sedikit bijan utk tabur

Cara cara:
Panaskan oven pada suhu 200C, lenser loyang dengan mentega, panaskan sebentar

Satukan bahan2 diatas kecuali labu yg di lecek dalam satu bekas, kacau dengan whisk hingga semua bersatu.

Tapis adunan tadi dan masukkan labu lecek, kacau hingga rata. Tuang dalam loyang yang telah disiapkan tadi.

Bakar selama 1 jam atau hingga masak. Kalau nak permukaannya berkerak, tambah masa pembakaran.

Keluarkan dari oven setelah kuih masak. Biar sejuk sebelum dikeluarkan dari tin.





Label