Entri Populer

Tampilkan postingan dengan label Lauk Pauk. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Lauk Pauk. Tampilkan semua postingan

Jumat, 08 Februari 2013

Kemaruk Dengan Masak Tempoyak Ikan Patin Liar Segamat






Penghujung Januari yang lalu, saya telah membuat keputusan di saat akhir untuk mengikut hubby menghantar Boy ke UiTM Segamat selepas kereta beliau mengalami kerosakan dan masih dibaiki di workshop.  Memang nampak jelas di wajah Boy cahaya kesedihan kerana tidak dapat memandu balik ke kolej. Lagi pulak tiket bas semuanya sudah habis. Seperti biasalah, kalau saya ikut tu, pasti ada agendanya. Hahaha apalagi agendanya kalau bukan agenda Jalan Jalan Cari Makan (JJCM). Semasa menghantar Boy mendaftar di kolej dulu, kami telah singgah di satu restoran untuk makan tengahari dengan lauk lauk kampung yang sedap. Sejak itu, saya asyik teringat ingat keenakannya. Lebih enak apabila sahabat kami Dr Sabariah dan suaminya Abang Nasir telah belanja makan tengahari tersebut. Pernah sekali, kami cuba mencari restoran ini tapi tak berjaya menemuinya. Maklumlah mencari restoran yang bukan sahaja namanya tak diketahui tetapi juga lokasinya juga tak langsung dapat diingati. Dulu kami cuma mengikut jer kereta sahabat baik kami itu.

Jadi kali ini, saya berjaya menjejak lagi kaki ke restoran yang sama yang mana dulu saya sendiri pun tak perasan apa nama restoran itu. Hanya kali ini, baru lah tahu nama restoran itu ialah Restoran Asam Pedas. Itupun sebab mengikut jer kereta Abang Nasir. Kelemahan saya dalam  bab makan makan ni, ialah tak reti membuat pilihan lauk pauk kerana saya seorang yang sangat membosankan. Bila suka sesuatu lauk, akan pilih lauk yang sama jer setiap kali makan di satu satu kedai. Jadi lauk pilihan saya yang dimakan secara berhidang ialah Pajeri Nenas atau terung, telur masin dan Asam Pedas Ikan Mayong. Tapi kali ini pajeri tak ada lah pulak. Abang Nasir pula mengambil Masak Lemak Ikan Baung, Sambal Tempoyak dan Ulam ulaman. Apabila Dr Sabariah tiba untuk sama sama makan tengahari, beliau menambah lauk Masak Tempoyak Ikan Patin. Haaa inilah bermulanya segala galanya. Dr Sabariah yang saya panggil Kak Sab meminta saya mencuba lauk Ikan Patin yang dikatakan sangat sedap tapi saya menolak sehingga hubby suruh saya mencubanya. Aduhaai bila dah cuba, sampai licin saya makan. Memang sedap kerana ikannya langsung tak terasa hanyir dan kuahnya pulak, sangat sedap. Dari situ, baru saya diberitahu yang ikan yang diguna adalah ikan patin liar dari sungai dan tempoyak yang segar. Hari itu, saya balik dengan membawa bersama keenakan ikan patin masak tempoyak di dalam ingatan.







Semalam semasa hubby ke Segamat untuk mengambil Boy balik bercuti sempena cuti Perayaan Tahun Baru China, saya memesan supaya hubby membeli lauk pauk dari Restoran Asam Pedas dan sudah semestinya Masak Tempoyak Ikan Patin, Asam Pedas dan Sambal Tempoyak. Serius meleleh air liur terbau keenakan masak tempoyak ini bila saya masuk sahaja ke dalam kereta. Terus menghantar mesej pada Nana supaya dimasakkan nasi putih. Anda bolehlah bayangkan bagaimana saya terus makan sesampai di rumah dengan tak sempat menyalin baju. Sedap, sangat sedap dan teramat sedap. Itu sahaja yang mampu saya katakan. Malahan hingga ke saat ini, saya masih seperti orang yang mabuk cinta yang angau teringatkan Masak Tempoyak Ikan Patin malam tadi. Hajat hati lauk dipanaskan untuk dimakan hari ini tapi bila hubby bertanya kalau saya tak mahu, beliau akan menghabiskannya. Jadi saya tak sampai hati, minta hubby menghabiskannya kerana tahu laling saya pun sangat menyukai Masak Tempoyak Ikan Patin. So, kena ke Segamat lagi lah selepas ini.....




Kamis, 31 Januari 2013

Kari Ayam 1213






Hari ini saya tak ada masakan istimewa pun, sekadar lauk pauk biasa. Namun setiap masakan ada cerita, bak kata Yuna, setiap gambar ada cerita. Begitu juga masakan pada diri saya. Lebih lebih lagi hari ini, tarikh yang cantik 1.2.13. Semalam lagi cantik 31.1.13. Apa apa pun esok lagi cantik dan istimewa kerana esok adalah hari ulang tahun ke14, anakanda bongsu saya yang sejak berbulan lepas merengek minta dibelikan iphone 4s, Apple sebagai hadiah harijadi. Berbalik pada tarikh cantik, saya bukan lah taksub dengan tarikh dan nombor nombor begini walaupun saya sangat menggemari no 8 dan 9. Alangkah bertuahnya jika dapat  memiliki plat kenderaan bernombor single digit 9. Hmm aah lupakan lah keangkuhan dunia ini semua. Kerana di sana lebih indah dari apa yang pernah kita bayangkan sebagai indah di alam ini. 

Berbalik pada Kari Ayam ini sebenarnya dari malam tadi teringin nak makan Kari Ayam. Jadi dari malam tadi, saya telah keluarkan ayam dari freezer dan diletakkan di bahagian peti ais sahaja. Bukan apa  tapi teringat kari ayam yang dimasak oleh kakak ipar semasa kami balik Ipoh mengunjungi arwah bonda mertua yang ketika itu, baru keluar dari Hospital Ipoh selepas serangan mild stroke. Kini Bonda Mertua telah kembali ke rahmatullah. Al Fatihah. Sesungguhnya kasih sayang dan manafaat anak anak kepada kedua ibu bapanya adalah doa yang diberi setelah mereka meninggal dunia. Bukan hanya kasih sayang duniawi. Sedekahkan Al Fatihah, cucurkan doa dan sedekah, wakaf atas nama mereka. Bukan sekadar mengingati tapi mendoakan mereka dalam setiap kali selepas solat. Alangkah bertuahnya ibu bapa yang mempunyai anak anak yang soleh dan solehah yang mendoakan mereka. Semoga anak anak saya juga tidak lupa untuk berbuat kebajikan dan tanggungjawab ini kepada kami. Insya Allah, ameen. 

Waah jauh pulak perginya celoteh saya. OK jom sambung semula cerita masakan. Kakak ipar saya memang pandai memasak, malah apa sahaja yang dimasak, semuanya sedap belaka. Hari itu, juga beliau membuat Masak Tempoyak Ikan Merah, pun sangat sedap. Belum lagi Kari Ikan beliau yang sangat sedap. Bila teringat kesedapannya, mula lah menelan air liur. Itu yang bangun pagi, terus ke dapur masak Kari Ayam. Boleh percaya ke hari ini saya bersarapan dengan nasi putih dan daging goreng kunyit ala ala Nasi Berlauk lah jadinya. Lepas ni nak keluar dengan Nana ke KL nak mencari tailor baru, nak menengok karpet, nak ke Bank, nak ke bakeri kerana minggu ini banyak mendapat tempahan cupcakes untuk Chinese New Year dan banyak lagi lah urusan lain. Hari ini kan KL bercuti sempena Hari Wilayah walaupun saya tinggal di Selangor. Selamat Hari Wilayah kepada semua orang Wilayah...
Jom tengok resepi pada siapa yang nak tengoklah. Saya  tulis juga resepi kat bawah ni untuk anak anak saya buat rujukan di masa masa hadapan. 



Kari Ayam
Oleh:  Azie Kitchen

1/2 ekor ayam - potong kecil
1 kotak santan
1 biji bawang besar - tumbuk
4 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
Bunga lawang, kayu manis
Garam
Gula
Asam keping (atau asam jawa)
Kerisik - jika suka

Panaskan minyak dan tumis bawang bawang sehingga wangi. Masukkan serbuk kari yang dibancuh dengan sedikit air. Masak sehingga pecah minyak.

Masukkan ayam dan biarkan sehingga air ayam kering. Masukkan santan. Bila mendidih, masukkan garam, gula dan sesuaikan rasa. 

Setelah mendidih dan naik minyak, bolehlah diangkat dan dihidangkan.


  

Senin, 28 Januari 2013

Sambal Tumis Udang Dengan Petai Dan Belimbing Buluh







Ini adalah lauk yang saya sediakan untuk hidangan makan tengahari semalam di samping Gulai Nasi Berlauk. Oleh kerana semua anak anak ada di rumah, saya memasak Sambal Tumis Udang yang menjadi kegemaran mereka. Bayangkan ketika saya sedang memasak, masing masing menunggu di dapur dengan pinggan masing masing. Cuma kali ini, saya meletakkan petai dan belimbing buluh. 

Agak susah juga jika memasak masakan bersambal kerana ada anak saya yang suka pedas dan minta dimasak sedikit pedas. Manakala ada pula, anak lain yang meminta supaya jangan dimasak pedas. Ada yang suka petai dan ada pulak yang tak mahu dimasukkan petai. Aduhaai, susah nya bila citarasa tak sama antara anak anak. Masa mereka kecil, saya tidak melayan semua ini dan mereka juga akan memakan apa sahaja yang disediakan. Tetapi bila mereka telah besar, mereka mula mempunyai citarasa sendiri dan jika tak suka, mereka tak akan menjamahnya.

Jom kita tengok resepi dulu... 



Sambal Tumis Udang Petai Dan Belimbing Buluh

Bahan bahan
Udang - goreng seketika
Cili kisar secukupnya
1 1/2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
Garam
Gula
Petai
Belimbing buluh
Asam keping

Cara cara:
Kisar bawang besar dan bawang putih. Panaskan minyak dan   tumis bawang yang dikisar bersama cili kisar. Pastikan ianya benar benar garing menggunakan api yang kecil.

Setelah garing, masukkan gula dan kacau sebati sebelum dimasukkan sedikit air. Masukkan petai dan belimbing buluh. 

Akhir sekali, masukkan udang yang telah digoreng. Sesuaikan rasa, tambahkan air, garam dan asam keping, jika perlu. 





Gulai Nasi Berlauk Kelantan






Selamat bercuti sempena hari Thaipusam kepada semua pembaca blog Azie Kitchen. Ini adalah entri semalam iaitu hari minggu di mana saya telah memasak Gulai Nasi Berlauk Kelantan yang memang menjadi hidangan untuk sarapan orang Kelantan. Saya belajar resepi ini dari Kak Yah, kawan senegeri yang dikenali semasa ke surau Ad Dhuha. Baru baru ini, saya telah menggunakan resepi ini juga tetapi untuk menyediakan Gulai Telur Masin yang diletakkan sekali belimbing buluh. Kesedapan gulai tersebut menyebabkan saya memasaknya sekali lagi. Tetapi kali ini, menggunakan ikan yang direbus dan dibiarkan semalaman.  

Gulai ini sedap dimakan dengan sambal yang dipanggil oleh orang Kelantan sebagai sambal lada di mana, ianya menggunakan cili kering dan ada juga yang menggunakan cili padi atau dipanggil lada cengek.  Bagai melengkapkan hidangan lauk nasi berlauk, saya masukkan sekali ikan kering yang dicelur seketika dengan gula dan juga timun di samping belimbing buluh. Kalau tak ada belimbing buluh, bolehlah digunakan asam keping.

 


Gulai Ikan Nasi Berlauk Kelantan

Bahan bahan:
Ikan rebus
Bawang merah
Bawang putih
Kunyit hidup
Lengkuas
Sedikit cili kisar (tak mahu letak pun, tak apa)
Cili hidup (cili solok, lagi sedap)
Garam
Sedikit gula/ajino moto
Asam keping
Santan
Timun dan kacang panjang
Ikan kering, jika suka

Cara cara:
Ikan direbus dengan garam dan asam keping. Kalau dibiarkan semalaman, lagi sedap dan mesra. Jika suka, celurkan ikan kering dengan merebus air hingga mendidih, masukkan sedikit gula dan celur ikan kering seketika. Angkat dan tos.

Kisar bawang merah, putih, kunyit dan lengkuas. Masukkan bahan kisar ke dalam santan. Masak atas api perlahan sambil terus dikacau sehingga menggelegak. Masukkan asam keping, garam dan serbuk perasa.

Akhir sekali masukkan ikan rebus, cili hidup, timun dan kacang panjang. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. Hidangkan dengan nasi putih serta sambal belacan. 








Sabtu, 26 Januari 2013

Masak Lemak Labu Kuning








Aduhaai risau pulak dibuatnya kerana saya ni memang jaguh kampung dalam bab masak memasak lauk pauk. Kalau untuk dimasak banyak  banyak, mulalah ada yang kurang sana sini. Lebih lebih lagi memasak untuk dimakan di rumah orang. Kalau makan di rumah sendiri, masih ada lagi keyakinan. Saya yang mencadangkan pada Intan, anak buah supaya dimasak labu yang memang banyak di rumah untuk lauk hidangan selepas majlis tahlil malam nanti. Masa tu, memang tak terfikir yang dari membawa buah labu, saya boleh memasak dan membawa labu yang telah siap dimasak. Jadi bila dicadangkan begitu, memang tak ada pilihan, terpaksalah juga memberanikan diri untuk memasak. 

Bercakap pasal labu ini, saya mendengar kuliah berkenaan sunnah Rasulullah di mana Rasulullah memakan labu. Jadi dihuraikan bahawa apa sahaja yang baginda buat, tak perlu kita persoalkan kerana pasti ianya mempunyai hikmah dan kebaikan tersendiri. Cuma kita orang Melayu yang banyak sangat pantang larangnya yang menganggap makan labu boleh  menyebabkan angin. Contoh lain ialah Rasulullah makan daging kambing dan minum susu kambing. Tapi kita pulak yang beranggapan bahawa makan daging kambing boleh menyebabkan darah tinggi dsb. Ini semua pengaruh Yahudi yang memutar belit fakta. Kenapa mesti meragui jika itu semua makanan yang dimakan oleh Rasulullah. Kesimpulannya Ustaz tu berkata, jangan persoalkan kerana apa yang Rasulullah buat adalah yang terbaik. Jika takut angin, makan lah sedikit sebagai mengikut sunnah. Haaa OK tak?


Jom lah tengok resepi yang saya tulis di bawah sebagai rujukan anak anak saya di masa hadapan. Semerbak mengharum semasa ianya sedang dimasak, hmm sangat menyelerakan bauannya...




Masak Lemak Kuning Labu

Bahan bahan:
500 gram labu kuning - potong kecil
2 cawan santan pekat
1 cawan air
1 labu bawang besar, dihiris
2 biji cili merah, dihiris
2 sudu besar udang kering (atau ikan bilis)
Garam secukup rasa
Daun kunyit - carik
Sedikit serbuk kunyit
2 batang serai - ketuk
Sedikit lada hitam - tumbuk kasar

Caranya :
Masukkan semua bahan kecuali santan, cili merah dan daun kunyit ke dalam periuk. Rebuskan hingga labu lembut.

Apabila sudah mendidih dan labu lembut, masukkan santan, cili merah, daun kunyit dan serbuk lada hitam.

Masakkan hingga mendidih sekali lagi. Apabila sudah mendidih, tutup api dan hidangkan.






Sabtu, 19 Januari 2013

Ayam Goreng Berempah







Bila saya membelek belek plastik yang dibawa hubby dari kedai runcit, terdapat seekor ayam yang telah disiang. Hmmm itulah tandanya yang saya perlu memasak untuk hidangan tengahari. Hubby mesti berfikir yang Gulai Telur Masin sedap dimakan bersama ayam juga. Sedang kepala ligat memikirkan apa yang nak dibuat dengan ayam, ternampak kelibat Nana  yang sedang bersiap siap untuk menghadiri majlis perkahwinan abang Mas Adibah di Shah Alam, rakan serumah semasa menuntut di Alexandria. Mereka hanya menyewa berdua kerana inginkan keselesaan, cuma tahun lepas, Iman tinggal bersama kerana sewa rumah yang bertambah mahal.  Tujuan saya bertanya kerana Nana biasanya lebih handal dalam bab menyediakan Ayam Goreng Berempah. Tapi sebab nak cepat agaknya, Nana tak memberitahu cara cara dia menyediakan Ayam Goreng Berempah. Jadi saya pun cepat cepat bertanya dengan Pak Cik Google, maklumlah banyak sangat versi ayam goreng berempah ni. Saya hanya mencari versi yang simple kerana bahan bahan yang ada pun terhad, malahan daun kari pun tak dapat dimasukkan kerana pokok kari saya mengalami masalah daunnya yang dimakan ulat ulat.  Jom kita layan.....





Ayam Goreng Berempah
Oleh: Azie Kitchen


Bahan bahan:
1 ekor ayam ~ potong kecil, bersih dan toskan
5 ulas bawang putih**
2 biji bawang besar**
1 inci halia**
5 batang serai**
1 sudu besar ketumbar(sangai/goreng tanpa minyak)**
**ditumbuk atau dikisar kering
1 sudu besar serbuk kari ayam/daging
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
3 sudu besar tepung jagung
1 biji telur
1 tangkai daun kari (tak letak)
Minyak untuk menggoreng
Garam secukup rasa

Cara penyediaan:
Ayam yang telah dibersihkan digaul dengan bahan yang telah dikisar/ditumbuk dan daun kari, lalu diperap.

Kemudian goreng ayam hingga kekuningan atau garing.



Gulai Lemak Telur Masin






Pagi pagi lagi saya masuk dapur untuk memasak. Sebenarnya hajat asal, hanyalah untuk membuat Moist Carrot Cupcake. Tetapi semasa menggeledah stok di dalam kitchen store, terpandang telur masin yang sudah agak lama. Maklumlah, dah lama rumah kami tak berasap kerana semua anak anak dan hubby tak mahu makan nasi. Hmm masing masing berdiet dan mengurangkan pengambilan nasi. Jadi hanya oven kami jer yang bekerja sepanjang masa.

Bila dah ada telur masin, dan teringatlah pulak belimbing buluh yang diberi Nani, rakan sepejabat minggu lepas. Oleh kerana cukup bahan, saya pun terus memasak Gulai Telur Masin. Gulai ini sebenarnya gulai lauk Nasi Berlauk Kelantan yang dijual sebagai sarapan. Biasanya lauk nasi berlauk adalah ikan rebus, ikan kering dan dimasukkan sekali sayuran seperti timum dan kacang panjang. Lauk lauk ini dimakan dengan nasi putih dan sambal lada. Aduhhaaai sedap dan rindunya nak bersarapan di Kelantan. Selain gulai ikan, ada juga lauk seperti Gulai Ayam dan Gulai Itik Serati dijadikan lauk Nasi Berlauk. 

Berbalik kepada gulai telur ini, saya sebenarnya tidak pernah memasak gulai untuk lauk nasi berlauk. Jadi saya menelefon Kak Yah, rakan surau di Ad Dhuha untuk menanyakan bahan bahannya. Berdasarkan percakapan telefon, saya terus menyalinnya ke dalam i pad supaya tidak lupa. Jadi kalau nak tahu macam mana rasanya Nasi Berlauk Kelantan, bolehlah mencuba resepi ini. Ikan direbus dan disimpan sekurang kurangnya semalaman, barulah lagi sedap. 





Gulai Telur Masin 

Bahan bahan:
4 biji telur masin
4 ulas bawang merah
2-3 ulas bawang putih
1 inci Kunyit hidup
Beberapa hiris Lengkuas
Sedikit cili kisar (tak mahu letak pun, tak apa)
Cili hidup (cili solok, lagi sedap)
Garam
Sedikit gula/ajino moto
Asam keping - (saya guna belimbing buluh)
Santan

Cara cara
Kisar bawang merah, putih, kunyit dan lengkuas. Masukkan bahan kisar ke kuali dengan sedikit air. Masak hingga mendidih, baru dimasukkan telur satu persatu. Setelah telur mengeras, baru dimasukkan santan.

Masak atas api perlahan sambil terus dikacau masak. Masukkan belimbing buluh, garam dan serbuk perasa. Akhir sekali, masukkan lada solok.

Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. Hidangkan dengan nasi putih serta sambal belacan.






Label