Entri Populer

Tampilkan postingan dengan label Masakan Kelantan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Masakan Kelantan. Tampilkan semua postingan

Senin, 28 Januari 2013

Gulai Nasi Berlauk Kelantan






Selamat bercuti sempena hari Thaipusam kepada semua pembaca blog Azie Kitchen. Ini adalah entri semalam iaitu hari minggu di mana saya telah memasak Gulai Nasi Berlauk Kelantan yang memang menjadi hidangan untuk sarapan orang Kelantan. Saya belajar resepi ini dari Kak Yah, kawan senegeri yang dikenali semasa ke surau Ad Dhuha. Baru baru ini, saya telah menggunakan resepi ini juga tetapi untuk menyediakan Gulai Telur Masin yang diletakkan sekali belimbing buluh. Kesedapan gulai tersebut menyebabkan saya memasaknya sekali lagi. Tetapi kali ini, menggunakan ikan yang direbus dan dibiarkan semalaman.  

Gulai ini sedap dimakan dengan sambal yang dipanggil oleh orang Kelantan sebagai sambal lada di mana, ianya menggunakan cili kering dan ada juga yang menggunakan cili padi atau dipanggil lada cengek.  Bagai melengkapkan hidangan lauk nasi berlauk, saya masukkan sekali ikan kering yang dicelur seketika dengan gula dan juga timun di samping belimbing buluh. Kalau tak ada belimbing buluh, bolehlah digunakan asam keping.

 


Gulai Ikan Nasi Berlauk Kelantan

Bahan bahan:
Ikan rebus
Bawang merah
Bawang putih
Kunyit hidup
Lengkuas
Sedikit cili kisar (tak mahu letak pun, tak apa)
Cili hidup (cili solok, lagi sedap)
Garam
Sedikit gula/ajino moto
Asam keping
Santan
Timun dan kacang panjang
Ikan kering, jika suka

Cara cara:
Ikan direbus dengan garam dan asam keping. Kalau dibiarkan semalaman, lagi sedap dan mesra. Jika suka, celurkan ikan kering dengan merebus air hingga mendidih, masukkan sedikit gula dan celur ikan kering seketika. Angkat dan tos.

Kisar bawang merah, putih, kunyit dan lengkuas. Masukkan bahan kisar ke dalam santan. Masak atas api perlahan sambil terus dikacau sehingga menggelegak. Masukkan asam keping, garam dan serbuk perasa.

Akhir sekali masukkan ikan rebus, cili hidup, timun dan kacang panjang. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. Hidangkan dengan nasi putih serta sambal belacan. 








Sabtu, 19 Januari 2013

Gulai Lemak Telur Masin






Pagi pagi lagi saya masuk dapur untuk memasak. Sebenarnya hajat asal, hanyalah untuk membuat Moist Carrot Cupcake. Tetapi semasa menggeledah stok di dalam kitchen store, terpandang telur masin yang sudah agak lama. Maklumlah, dah lama rumah kami tak berasap kerana semua anak anak dan hubby tak mahu makan nasi. Hmm masing masing berdiet dan mengurangkan pengambilan nasi. Jadi hanya oven kami jer yang bekerja sepanjang masa.

Bila dah ada telur masin, dan teringatlah pulak belimbing buluh yang diberi Nani, rakan sepejabat minggu lepas. Oleh kerana cukup bahan, saya pun terus memasak Gulai Telur Masin. Gulai ini sebenarnya gulai lauk Nasi Berlauk Kelantan yang dijual sebagai sarapan. Biasanya lauk nasi berlauk adalah ikan rebus, ikan kering dan dimasukkan sekali sayuran seperti timum dan kacang panjang. Lauk lauk ini dimakan dengan nasi putih dan sambal lada. Aduhhaaai sedap dan rindunya nak bersarapan di Kelantan. Selain gulai ikan, ada juga lauk seperti Gulai Ayam dan Gulai Itik Serati dijadikan lauk Nasi Berlauk. 

Berbalik kepada gulai telur ini, saya sebenarnya tidak pernah memasak gulai untuk lauk nasi berlauk. Jadi saya menelefon Kak Yah, rakan surau di Ad Dhuha untuk menanyakan bahan bahannya. Berdasarkan percakapan telefon, saya terus menyalinnya ke dalam i pad supaya tidak lupa. Jadi kalau nak tahu macam mana rasanya Nasi Berlauk Kelantan, bolehlah mencuba resepi ini. Ikan direbus dan disimpan sekurang kurangnya semalaman, barulah lagi sedap. 





Gulai Telur Masin 

Bahan bahan:
4 biji telur masin
4 ulas bawang merah
2-3 ulas bawang putih
1 inci Kunyit hidup
Beberapa hiris Lengkuas
Sedikit cili kisar (tak mahu letak pun, tak apa)
Cili hidup (cili solok, lagi sedap)
Garam
Sedikit gula/ajino moto
Asam keping - (saya guna belimbing buluh)
Santan

Cara cara
Kisar bawang merah, putih, kunyit dan lengkuas. Masukkan bahan kisar ke kuali dengan sedikit air. Masak hingga mendidih, baru dimasukkan telur satu persatu. Setelah telur mengeras, baru dimasukkan santan.

Masak atas api perlahan sambil terus dikacau masak. Masukkan belimbing buluh, garam dan serbuk perasa. Akhir sekali, masukkan lada solok.

Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. Hidangkan dengan nasi putih serta sambal belacan.






Label